
Benua  Eropah yang menjadi antara lubuk sentimen Islamfobia yang dihangatkan  lagi dengan rentetan cubaan serangan terbaru di Britain, baru-baru ini,  sebaliknya semakin diterangi sinar Islam menerusi projek pembinaan beratus-ratus masjid baru. Setakat ini, di Britain saja ada sebanyak 1,500 masjid.
Projek  pembinaan masjid baru dari Jerman ke Sepanyol dan Britain, sekaligus  membuktikan keberanian masyarakat Muslim menonjolkan identiti sebenar  mereka, tanpa perlu rasa takut mahu pun terancam dengan perkembangan di  sekeliling mereka. Lebih menarik, jika dulu mereka terpaksa secara  rahsia menunaikan solat di bilik gelap di bahagian paling bawah bangunan  kerana bimbang dicemuh, keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang  kebanyakannya golongan pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan  setakat berani keluar masuk masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan  bersatu hati menghadapi sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang  diingini dapat menjadi satu realiti.
Malah,  seperti dilaporkan media Barat baru-baru ini, kehadiran kubah masjid  terbesar di Jerman misalnya, semakin menenggelamkan menara gereja  petunjuk keyakinan baru ke atas Islam ketika gereja pula semakin terbiar  di negara Eropah itu.
Di  Jerman saja, sehingga 184 masjid baru kini dalam proses pembinaan  termasuk di daerah Kreuzberg, Berlin. Keadaan jauh berbeza jika  dibandingkan bertahun-tahun lalu apabila 180 rahib kumpulan Katolik  Sisters of the Divine Savior diibaratkan sebagai nadi di bandar itu.  Malangnya, hari ini mereka cuma tinggal 8 orang. Setiap minggu, purata  150 penganut Roman Katolik menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen  berbanding kira-kira 3,000 Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim.  Sejak pembukaannya pada 1995, kehadiran kedai dan pusat belia Muslim  menjadi ‘besi berani’ bagi kalangan penduduk Islam.
Di  sekitar Eropah, Islam yang juga agama paling pesat berkembang, semakin  ketara dan jelas kewujudannya berbanding satu ketika dulu apabila ia  diamalkan secara senyap-senyap. Perubahannya bukan menyentuh aspek seni  bina pada bandarnya, tetapi juga nilai sosial masyarakat setempat. Dalam  apa dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim, fenomena kemunculan  ketara Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia Islam jelas  mengancam budaya Kristian Eropah.
“Masyarakat  Muslim sudah berani keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya,”  kata Claus Leggewie, pakar Sains Politik Universiti Giessen, Jerman.
Kenyataannya itu berdasarkan kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman.
“Menerusi  projek pembinaan masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu  disampaikan (umat Islam) adalah kami di sini. Kami mahu menjadi  sebahagian landskap simbolik Jerman. Kami ada di sini dan akan terus  kekal di Jerman,” kata Leggewie.
Pembinaan  masjid besar dari Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam (Belanda) dan  Seville, Sepanyol, berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin  tempatan yang mendakwa ia lubuk menghasilkan pengganas. Lebih  menyedihkan, apabila ada kalangan umat Islam yang meragui pembinaan  masjid itu. Ini dibuktikan dengan kenyataan ahli keluarga dua suspek  keganasan di Glasgow, Scotland yang mendakwa suspek itu dilatih menjadi  radikal oleh kumpulan pendakwah Tablighi Jamaat (Jemaah Tabligh)  kumpulan sama yang sedang hebat memperjuangkan hak bagi pembinaan  kompleks Masjid Besar London di tanah seluas 18 ekar. Malah,  pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012, juga bakal mencatat  sejarah sebagai masjid terbesar Eropah.
Kewujudan  bangunan seumpamanya jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan  kecil yang menjadi tempat jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan  solat Jumaat, sejak 33 tahun lalu selepas dia berhijrah dari Turki ke  kawasan di Frankfurt, Jerman. Siapa sangka, pergerakan Islam yang  dianggotainya itu dapat membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar  Wiesbaden, di tengah Jerman.
“Di  sini ada tempat letak kereta, pusat kanak-kanak dan untuk golongan  belia. Kami mahu mewujudkan pusat setempat bagi membolehkan orang ramai  melihat apa yang sebenarnya kami lakukan di sini,” kata Kuzpinar.
Berikutan  kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus  sebuah pertubuhan hak asasi  Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman, mahu memiliki sesuatu yang  tidak pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan rakyat di negara yang sudah  menjadi tanah air mereka.
Namun,  usaha murni itu berdepan bantahan keras. “Ia sepatutnya dijual sebagai  sebuah pasar raya, bukannya masjid,” kata Wolfgang Kopp, pemilik  pangsapuri di seberang premis itu.
Beliau  bersama jiran lain, berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar  raya itu kepada masjid, tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini  disebabkan, Perlembagaan Jerman jelas menyatakan semua agama boleh  memiliki tempat ibadatnya sendiri. Sejak menjejakkan kaki di Jerman,  golongan pendatang seperti Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap  yang menjadi simbol kegelapan masyarakat Islam yang tersepit di antara  kebebasan mengamalkan agama serta budaya masyarakat setempat di negara  yang menjadi tanah air mereka.
Kini,  generasi ketiga yang semakin berjaya, saling berusaha dalam projek  pembinaan masjid yang lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma  wujud sebilangan kecil saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid  manakala 184 projek pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam  Jerman.
Aachen,  bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9  peratus masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan  pembinaan masjid besar.
“Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting masyarakat,” kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden.
Kata-katanya  terbukti benar apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama  pengganas, sebaliknya semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai  anggota masyarakat tanpa perlu kempen besar-besaran mahupun mencela  agama lain yang sudah bertapak kukuh di negara Eropah terbabit.
Hasil  kerjasama dan kesabaran di kalangan Muslim sudah cukup menjadi bukti  keagungan Islam sebagai agama keamanan dan kemunculan kubah masjid  mengatasi menara gereja di Jerman hanyalah antara permulaan awal  kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.
         Anda mungkin juga meminati: